KENYATAAN AKBAR-PENDAFTARAN DAN AKREDITASI PERSONEL BINAAN DIKUATKUASA HARI INI

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

June 1, 2016

KENYATAAN AKHBAR-PENDAFTARAN DAN AKREDITASI PERSONEL BINAAN DIKUATKUASA HARI INI

Kuala Lumpur, 1 Jun:  Pendaftaran dan Akreditasi Personnel Binaan yang diwajibkan di bawah Akta 520 (Pindaan 2011) akan dikuatkuasakan pada hari ini setelah tempoh penangguhan (grace period) selama setahun diberikan kepada semua penggiat industri pembinaan. Pindaan Akta tersebut telah diwartakan penguatkuasaannya oleh Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof pada 1 Jun 2015.

 

Pindaan akta tersebut mewajibkan kesemua penyelia tapak binaan atau pekerja binaan mahir di dalam tred yang disenaraikan di dalam Jadual ketiga, Akta 520 untuk berdaftar dan diakreditkan, iaitu mendapatkan pentauliahan sebagai perakuan kepada bidang kemahiran mereka.  Ini kerana hanya personel binaan yang telah berdaftar dan diperakui kemahirannya dapat menghasilkan kerja-kerja yang berkualiti, kompeten dan berproduktiviti tinggi.  Ini seterusnya dapat menaikkan imej personel binaan agar ianya lebih menarik sebagai kerjaya pilihan.

 

Mengikut Akta 520 (Pindaan 2011) Seksyen 33 (1) sesiapa yang didapati menjalankan kerja-kerja pembinaan tanpa pendaftaran sah, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.  Denda yang sama juga dikenakan kepada sesiapa yang mengambil pekerja yang tidak diakreditkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan.

 

Sementara kontraktor yang gagal untuk mendaftar dengan CIDB boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM100,000 mengikut Seksyen 25.

 

Senarai tred di dalam jadual ketiga boleh di dapati dilaman web CIDB menerusi capaian http://www.cidb.gov.my/cidbv4/index.php?option=com_content&view=article&id=101&Itemid=173&lang=ms

 

Kontraktor atau personnel binaan yang ingin mendapatkan sijil akreditasi tersebut boleh berhubung terus dengan Akademi Binaan Malaysia (ABM), Wilayah Tengah di talian 03-9200 2008, Wilayah Selatan 07-238 8152, Wilayah Utara  04-924 2200, Wilayah Timur 09-681 8327 / 28 / 86 / 96 / 97, Wilayah Sabah 088-492 614 / 088-494 615 / 088-495 616 dan Wilayah Sarawak 082-446 700 / 448 700.

——————————————————————————————————————–

Mengenai CIDB

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ditubuhkan menerusi Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) bagi membina kapasiti dan kapabilitiindustri pembinaan melalui peningkatan kualiti dan produktiviti dengan memberi penekanan kepada professionalisme, inovasi dan pengetahuan ke arah kehidupan yang berkualiti.

———————————————————————————————————————

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

CIDB Careline:  1-300-88-2432