KONVOI AMAL ‘BACK TO SCHOOL’ 2014

KONVOI AMAL ‘BACK TO SCHOOL’ 2014

(Kuala Lumpur-Grik-Baling-Pengkalan Hulu-Yala, Thailand)

Tarikh: 5-6 Disember 2014

 

CLAB dengan kerjasama Kelab Kembara Pacuan 4 Roda Selangor telah mengadakan program Konvoi Amal 2014 ke Rumah Anak-Anak yatim di daerah Baling, Gerik, Pengkalan Hulu dan sebuah sekolah rendah di selatan Thailand pada 5-6 Disember 2014 yang lalu.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan bantuan dan sumbangan kepada kumpulan sasaran disamping memupuk kesedaran dikalangan kakitangan CLAB dan sensitif terhadap kesusahan orang lain.

Konvoi amal yang disertai oleh sebanyak 46 buah kereta pacuan empat roda termasuk media dan penaja telah menyerahkan perbagai peralatan dan kelengkapan persekolahan, bahan makanan mentah dan lain-lain keperluan harian.

Semua peserta telah mula berkumpul di pejabat Karangkraf, Shah Alam  untuk memulakan Program Konvoi Amal 2014 seawal 7.30 pagi. Ketua Eksekutif Karangkraf telah membuat perlepasan (Flag Off) pada jam 8.45 pagi dan semua kenderaan diiringi oleh pasukan trafik Polis DiRaja Malaysia.

Kami telah tiba di destinasi iaitu Rumah Anak Yatim Ummu Salamah, Grik pada jam 1.00 tengahari. Peserta konvoi telah disambut mesra oleh pengetua rumah anak yatim tersebut sambil menikmati hidangan makan tengahari dan diikuti oleh upacara penyerahan sumbangan beg sekolah bersama kelengkapan yang lain. CLAB telah diberi penghormatan untuk membuat penyerahan tersebut kepada seramai 30 orang anak yatim yang berada dibawah jagaan rumah kebajikan tersebut.

Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Hidayah, Baling Kedah dan tiba pada jam 4.30 petang Terdapat seramai 20 orang anak yatim dan juga orang miskin di rumah kebajikan ini. Kami mengambil peluang ini untuk beramah-mesra dengan anak-anak yatim tersebut dan seterusnya penyerahan sumbangan peralatan dan kelengkapan asas persekolahan dan lain-lain keperluan harian.

Pada jam 5.45 petang peserta konvoi meneruskan perjalanan ke Rumah Anak Yatim Kediaman Abu Nur, Pengkalan Hulu dengan misi yang sama. Majlis ini berakhir dengan sesi fotografi beramai-ramai. Setelah selesai kami meneruskan perjalanan ke Betong, Yala untuk bermalam disana dan meneruskan program amal ini pada hari kedua.

 

Sebagai penutup, program ini telah dijalankan dengan jayanya.  Projek CSR ini telah memberi pendedahan kepada CLAB kearah mengetahui mengenai sejauhmana penglibatan sesebuah organisasi melibatkan diri dalam aktiviti sosial dan pelaksanaan tanggungjawab sosial ini memberikan kesan sama ada kepada badan korporat mahupun kepada masyarakat. Semoga amalan ini akan dikekalkan pada masa-masa akan datang.