MOU BEKAL PEKERJA ASING CLAB & COTRADE

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Cotrade Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Koperasi Kakitangan Petronas (Kopetro) telah membekalkan lebih 1,000 pekerja teknikal dan bukan teknikal dalam sektor minyak dan gas terutama untuk projek Pembangunan Bersepadu Kilang Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor yang bernilai RM62 bilion.

Ketua Eksekutif Kopetro, Abdol Alim Yaacob berkata, pihaknya berharap dapat membekalkan antara 40,000 hingga 50,000 pekerja separuh mahir untuk projek-projek di bawah Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) bagi tempoh jangka masa panjang.

Selain itu katanya, Cotrade turut membekalkan pekerja untuk Petronas Carigali Sdn. Bhd., Petronas Gas Bhd., Petronas Dagangan Bhd. dan lain-lain anak syarikat milik syarikat minyak negara itu.

 “Saya menjangkakan dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) hari ini, Cotrade dapat membekalkan sehingga 5,000 pekerja asing dan tempatan bagi projek RAPID untuk peringkat permulaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas MoU antara Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) dan Cotrade di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Kerja Raya, Sarani Dollah; Naib Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia, Datuk Seri Sufri Mohd. Zin; Presiden Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Mokhtar Samad dan Ketua Eksekutif CLAB, Abdul Rafik Abdul Rajis.

MoU tersebut melibatkan kerjasama membekalkan tenaga kerja asing dan tempatan bagi projek-projek yang dijalankan oleh Petronas, yang membabitkan projek RAPID dan juga projek di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Abdul Rafik berkata, penurunan harga minyak dunia tidak akan menjejaskan permintaan tenaga kerja dalam sektor minyak dan gas.

“Kita melihat masih terdapat permintaan tenaga kerja dalam bidang ini terutama daripada kontraktor-kontraktor yang berdaftar dengan CLAB. Ini kerana penurunan harga minyak yang berlaku sejak akhir-akhir adalah bersifat sementara sahaja,” katanya.

Sehingga kini, ujarnya, CLAB mempunyai seramai lebih 45,000 pekerja asing binaan dan hampir 4,000 majikan berdaftar dengan syarikat tersebut.

“Kami menyasarkan 7,000 kontraktor akan berdaftar dengan CLAB dalam tempoh dua hingga tiga tahun dan amat mengalu-alukan pekerja tempatan untuk berdaftar dengan CLAB sama ada sebagai jurutera, jurukimpal atau apa jua cabang kerjaya dalam sektor pembinaan,” katanya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/cotrade-mahu-bekal-lebih-5-000-pekerja-1.53258#sthash.wJ2fr0hK.dpuf